Saturday, March 10, 2012


Sebuah kerajaan yang baik, memerlukan unsur 'check and balance' dalam menentukan dasar dan pelaksanaan program pembangunannya.

Ini bukan sahaja sesuai dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini, bahkan ia adalah satu faktor yang sangat diutamakan dalam sejarah kepimpinan pada zaman kegemilangan Islam.

Jika diteliti pemerintahan Khulafaur Rasyidin misalnya, kita akan dapat melihat betapa ruang bagi proses 'check and balance' ini telah dibuka seluas-luasnya sejak awal pemerintahan mereka lagi. 

Sayidina Umar RA pernah ditegur sejak diawal pemerintahannya. Padahal kalau ada manusia yang layak menjadi Nabi selepas Rasulullah, Umarlah orangnya.

Para sahabat utama Rasulullah saw tersebut sedar betapa sebagai hamba Allah, mereka tentunya mempunyai kelemahan-kelemahan yang perlu ditegur, dinasihati bahkan diperbetulkan oleh pihak lain. Indahnya, rakyat ketika juga turut sedar bahawa kewajiban mentaati kerajaan tidaklah menghalang mereka memberi pandangan, nasihat dan teguran kepada pemerintah.

Kerajaan masakini perlukan proses 'check and balance' ini. Dan tentu sahaja prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam tidak boleh dipinggirkan dalam proses tersebut. Untuk itu golongan agama dalam kerajaan khususnya, patut memainkan peranan yang lebih aktif, dinamik dan terbuka dalam pendekatannya (kerana kerap didakwa ahli agama dari parti pembangkang yang sering disifatkan kasar, emosional dan prajudis?)

Justeru, bagaimana pula sikap 'orang' agama dalam kerajaan? Mampukah mereka melakukan proses 'check and balance' dari dalam? Atas 'kelebihan' mereka yang tentunya mempunyai sistem nilai, kepakaran dan ketulusan berteraskan Islam, sudah pasti peranan mereka juga lebih besar. Ini selaras dengan harapan kebanyakan orang Melayu agar mereka benar-benar berperanan dalam meningkatkan penghayatan dan amalan Islam di Malaysia.

Sesungguhnya, agenda besar ini menuntut skop pemikiran yang luas, komitmen tenaga yang tinggi dan gerak-kerja yang menyeluruh... Tegasnya, golongan agama bukan lagi berperanan sekadar bunga hiasan atau pinggan nasi tambah!

Secara mudah, dua dimensi utama tujuan Islam ialah menegakkan yang makruf (kebaikan dan kebajikan) dan mencegah yang mungkar (kejahatan dan keburukan). Dan kedua-dua dimensi ini mestilah dirujuk kepada Allah berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Untuk menegakkan yang makruf, golongan agama "bekerja keras" memahamkan masyarakat mengenai konsep dakwah dan tarbiah Islamiah yang praktikal dan realistik.

Tonjolkan sikap bukan cakap. Secara jelas, golongan agama dalam kerajaan memikul amanah untuk meningkatkan perjuangan Islam yang syumul ( tidak kira atas label "Islam Hadhari" atau apa pun jua jenamanya nanti), bukan sahaja secara konseptual tetapi juga dari segi pelaksanaannya.

Itu dilihat dari dimensi menegakkan yang makruf.



 



Manakala dari dimensi mencegah yang mungkar pula, 'orang-orang' agama dalam kerajaan perlu menyedari setidak-tidaknya ada juga perkara-perkara negatif dalam negara di bawah bidang kuasa kerajaan perlu ditegur dan dinasihati. Keberanian, ketelusan, sikap kritis tetapi berhikmah perlu ada pada mereka untuk menegur kerajaan dari dalam.

Ironinya, jika ada pihak beranggapan orang agama dalam parti lawan 'terlalu benci' hingga tertutup mata hati untuk melihat kebaikan pemerintah, maka janganlah hendaknya orang agama dalam kerajaan 'terlalu cinta' hingga alpa pada kesalahan atau kesilapan kerajaan.

Hubungan yang akrab antara mereka dengan pemimpin negara mestilah dimanfaatkan untuk memberi nasihat dan teguran agar proses 'check and balance' yang disebutkan sebelum ini berjalan dengan baik. Jika dahulu seorang tokoh agama dalam kerajaan pernah menyifatkan penolakan terhadap pembangkang membuktikan masyakat telah menolak 'ulama yang tidak berhikmah', maka masyakat ingin melihat bagaimana pula iltizam 'ulama yang berhikmah'?

Siapa lagi kalau bukan orang-orang agama dalam kerajaan yang boleh diharapkan menegur pemerintah dengan penuh hikmah sepertimana yang dituntut oleh Rasulullah saw menerusi sabdanya:

"Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa mengenai sesuatu perkara, maka janganlah ia menyampaikan secara terang-terangan tetapi hendaklah ia memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian..."(Riwayat Ahmad dan al Hakim)

Kebimbangan rakyat mengenai gejala sosial, jenayah seks, keruntuhan akhlak dikalangan remaja, dadah dan sebagainya amat membimbangkan masyarakat. Parti pembangkang terus menyalahkan kerajaan atas apa yang berlaku walaupun kadangkala jelas kelemahan institusi keluarga paling banyak menyumbang kepada keruntuhan itu.

Namun, apa salahnya jika kerajaan juga bermuhasabah atas program-program hiburan yang keterlaluan, lambakan bahan bacaan picisan dan lain-lain unsur negatif seperti pendedahan aurat, pergaulan bebas dan budaya hedonisme yang mengancam golongan remaja.

Tentu ada yang 'tidak kena' di mana-mana. Jadi, ada baiknya jika golongan ulama dalam kerajaan menegur secara langsung budaya hedonisme yang diperagakan secara keterlaluan atau setidak-tidaknya membuka laluan yang lebih luas kepada budaya hiburan yang lebih sopan dan mendidik.

Walaupun mustahil menutup pintu langit dan menyekat segala bentuk kemungkaran menurut ajaran Islam kerana Malaysia negara berbilang agama dan bangsa, namun dalam batas-batas kesederhanaan Islam masih banyak rasanya yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membantu para ibu-bapa mengawal anak-anak mereka daripada terjebak dengan gejala-gejala negatif.

Pendekatan pencegahan menerusi program kesedaran, dakwah dan pendidikan perlu diperhebat dan dipelbagaikan dalam bentuk yang lebih kreatif, menarik dan berkesan. Ia juga perlu iringi oleh halangan-halangan berbentuk lahiriah – akta, undang-undang, denda dan sebagainya.

Hendaknya dalam keadaan-keadaan tertentu janganlah program-program yang melibatkan pendedahan aurat, pergaulan bebas dan lain-lain unsur negatif itu semacam disemarakkan melebihi program-program yang jelas kemakrufannya. Mungkin ini hanya persepsi sesetengah anggota masyarakat, tetapi ada baiknya persepsi ini diatasi dengan program penerangan yang lebih jelas dan mantap.

Ahli agama dalam kerajaan juga diharap dapat memadamkan polemik-polemik yang tidak perlu dan telah lama selesai dan lain-lain isu seumpamanya. Justifikasi yang kononnya mewajarkan isu begini ditimbulkan – untuk membuka ruang minda dan 'horizon' pemikiran adalah tidak relevan dan tidak berhikmah.

Jika benar perkara-perkara ini adalah bersifat pinggiran dan 'khilafiah' maka apa rasionalnya ia dibangkitkan semula sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan orang awam dan debat tidak bermanfaat di kalangan para ilmuwan?

Bukankah lebih baik perkara-perkara yang lebih relevan umpamanya bagaimana menyepadukan pembangunan rohani dan material, penghayatan dan memantapkan lagi soal-soal asas dan teras Fardu Ain (rukun Iman dan Rukun Islam), aplikasi industri bioteknologi menurut perspektif Islam, penggunaan dinar emas dalam pasaran kewangan Islam dan global, itu yang dibahaskan secara komprehensif?

Bukankah perkara-perkara baru yang bersifat 'ke hadapan' dan menyelesaikan masalah ini jauh lebih penting diketengahkan berbanding isu-isu yang telah lama selesai tapi ditimbulkan semula hanya untuk memuaskan ego atau hero keintelektualan?
Begitu juga peranan golongan ugama seharusnya tidak terhad cuma kepada bidang-bidang yang dilihat berwajah 'agama' tetapi mula menjangkau jua bidang-bidang lain selaras dengan Islam sebagai 'way of life'.

Dalam bidang pembangunan fizikal dan ekonomi misalnya, suara golongan agama mestilah kedengaran bukan sahaja dalam menentukan halal dan haram, tetapi memantau prinsip, pendekatan, pelaksanaan dan tujuan pembangunan itu selaras dengan kehendak Tauhid, syariah dan akhlak Islamiah.

Justeru, kita berharap golongan agama ini akan terus meningkatkan keberkesanan dan kecekapan mereka dalam kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran dengan menambah ilmu dan kemahiran agar mereka layak diberi peranan yang lebih besar.
Pada era yang akan datang kita berharap dapat melihat orang agama dalam kerajaan boleh memimpin kementerian-kementerian yang berteraskan bidang pelajaran, penerangan, industri, keselamatan, pertanian dan sebagainya.

Apa yang penting, golongan agama inilah yang kita harapkan menjadi perintis bagi merealisasikan generasi kepimpinan baru yang menggabungkan sifat mukmin (kejujuran, amanah dan lain-lain sifat mahmudah) dengan tahap profesionalisme dan kompetensi yang tinggi.

Dengan sifat kehambaan kepada Allah dan sifat kekhalifahan dengan manusia dan tugasan, maka akan terbina satu barisan kepimpinan yang akan mendaulatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif, toleran dan dinamik pada era globalisasi.

Orang-orang Melayu mesti memastikan budaya dan jati diri mereka yang berteraskan nilai bangsa dan prinsip agama terus dipertahankan dalam gagasan menjadi 'Khayra Ummah' – yang amar makruf, nahi mungkar dan beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya!

Mungkin itu yang dapat saya sarankan kepada ulama-ulama dalam kerajaan. Sekadar satu usaha ingat mengingatkan dengan kebenaran dan kesabaran. Bagaimana dengan ulama di luar kerajaan? Insya-Allah, jika ada kesempatan akan saya tulis jua nanti.

- Artikel iluvislam.com

0

ZALORA COMMUNITY CONTRIBUTOR BADGE

ash_tsukidate.blogspot.my review

ShoutBox

Powered by Blogger.